Thursday 11 April 2013

POLIS TAHAN TIGA PELAJAR SEKOLAH MENENGAH PUKUL RAKAN


Related video

Butterworth, 11 April - Polis menahan tiga pelajar sekolah menengah di Seberang Jaya, dekat sini yang sebelum ini dikenakan tindakan buang sekolah berhubung kes pukul seorang pelajar di sekolah yang sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata tiga pelajar berusia 15 tahun itu ditahan di rumah masing-masing di sekitar Seberang Jaya di sini pada 11 malam tadi.

"Kita tahan mereka semalam untuk ambil keterangan bagi melengkapkan siasatan. Jika polis dapat melengkapkan keterangan hari ini kita akan bebaskan pelajar terbabit.

"Sekiranya masih belum cukup (keterangan), polis akan mendapatkan perintah reman terhadap mereka, semua itu bergantung kepada hasil siasatan kita," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya setakat ini polis telah merakamkan percakapan lapan orang termasuk mangsa, pelajar yang merakamkan video pergaduhan itu dan guru di sekolah berkenaan.

Mazlan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.

Semalam Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Ahmad Tarmizi Kamaruddin dipetik sebagai berkata jabatannya telah membuang tiga pelajar dari sebuah sekolah menengah di Seberang Jaya di sini setelah didapati bersalah memukul seorang pelajar dalam kejadian 4 Mac lepas.

Kejadian itu dikatakan berpunca apabila tiga pelajar tingkatan tiga terbabit berang dengan tindakan ketua tingkatan yang mahu membuat laporan kepada guru kerana mereka membawa telefon bimbit ke sekolah.

Perbuatan mereka dirakam dan tersebar luas dalam laman YouTube sejak beberapa hari lepas dan mendapat komen negatif daripada orang ramai. - BERNAMA

1 comment:

  1. Ikutkan hati memang marah.. tapi bila tengok versi parody rasa terhibur sikit.. tu la kelebihan dan keburukan budak2 ada handphone sekarang..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...